Tuesday, 20 November 2012

Kemahiran Menaakul

Menurut Terry & Higgs (1993), penaakulan merupakan proses kognitif sebab munasabah terjadinya sesuatu berdasarkan fakta atau pengetahuan, data dan strategi menyelesaikan masalah untuk menghasilkan kesimpulan serta membuat keputusan. Kemahiran menaakul ini ialah salah satu soft skill yang perlu disalurkan kepada murid-murid di bawah dasar KSSR. Melalui situasi atau masalah yang dimasukkan ke dalam buku teks dan buku aktiviti Bahasa Cina, murid-murid berpeluang untuk meluahkan pendapat masing-masing dalam penyelesaian masalah. Ini adalah penting kerana ilmu yang diperoleh daripada buku hanyalah teori, malah murid-murid sendiri perlu sentiasa peka akan perubahan yang berlaku di persekitaran serta berfikir dengan lebih mendalam supaya masalah dapat dibendung dengan lebih berkesan.

Contoh :
1. Apakah yang berlaku pada gambar 1 ?
2. Adakah cara penggunaan elektrik pada gambar 2 betul ? Mengapa ?
3. Apakah yang berlaku pada gambar 3 ?
4. Apakah mesej yang hendak disampaikan melalui ketiga-tiga gambar ini ?
5. Nyatakan cara-cara untuk mencegah kebakaran.

1. Nyatakan cara-cara membeli buku berdasarkan gambar-gambar di atas.
2. Jika anda ingin membeli buku, apakah cara yang akan anda gunakan ?
3. Berikan sebab-sebab anda memilih cara tersebut.

 

Monday, 12 November 2012

Aspek penulisan KSSR Bahasa Cina agak berlainan dengan penulisan dasar KBSR. Di bawah KBSR, kemahiran membina ayat berdasarkan perbendaharaan kata dari petikan yang diajar dititikberatkan. Pada tahap 2 pula, murid mula belajar menulis karangan berpandukan gambar atau dengan tajuk-tajuk yang diberikan. Hasilnya, kebanyakan murid mula menghafal karangan kerana guru-guru di sekolah atau guru di pusat tiusyen membantu mereka membuat ramalan. Akibatnya, murid-murid berasa bosan dan menghadapi tekanan kerana terdapat banyak jenis karangan yang perlu dihafal. Murid-murid juga menjadi pasif dan kurang kreatif kerana karangan yang dihasilkan bukan hasil sendiri.

Tetapi, dengan transformasi pendidikan kali ini, murid-murid berpeluang untuk meluahkan pendapat masing-masing melalui ayat-ayat atau karangan mereka. Bidang penulisan KSSR mementingkan pandangan murid sendiri. Apabila tajuk atau gambar diberikan, mereka dikehendaki memberi pendapat melalui lisan sebelum menulis. Ini adalah untuk melatih kemahiran bertutur dan menulis murid. Cara ini juga dapat membina pemikiran murid yang kreatif kerana guru tidak mengenakan sebarang sekatan malah memberikan kebebasan untuk bercakap. Selain itu, topik-topik yang digunakan biasanya berkaitan dengan pengalaman sedia ada murid. Lama-kelamaan, anak-anak murid ini akan lebih berkeyakinan semasa bercakap dengan orang ramai, berfikiran kreatif serta mahir dalam  menulis ayat-ayat yang gramatis.

Contoh latihan :

1. Apakah yang sedang berlaku ?
2. Di manakah perhimpunan diadakan ?
3. Siapakah yang berada di tapak perhimpunan ?
4. Adakah anda suka akan perhimpunan ? Mengapa ?

Murid-murid akan menjawab soalan-soalan dahulu. Guru akan cuba membetulkan jawapan murid yang kurang betul atau membimbing murid-murid untuk memberikan jawapan. Kemudian, guru akan membimbing murid-murid untuk menulis ayat-ayat atau perenggan. Kosa kata yang tidak tahu boleh digantikan dengan simbol atau gambar. Guru perlu menanda latihan murid dengan longgar supaya tidak menjejaskan keyakinan murid dalam meluahkan pandangan mereka. Guru tidak menyekat daya pemikiran murid dan bersedia untuk menerima apa saja pendapat yang diberikan oleh murid kerana murid-murid akan selalu mengeluarkan idea-idea di luar imaginasi kita. Inilah salah satu matlamat transformasi pendidikan daripada KBSR kepada KSSR.




Thursday, 8 November 2012

Mid-Autumn Festival

Dalam Unit 22 bagi Tahun 2, terdapat 2 topik yang berkaitan dengan perayaan kaum Cina dan kaum Melayu. Mid-Autumn Festival ialah salah satu perayaan yang ada dalam unit ini. Tujuan pengajaran topik ini bukan sahaja menerangkan cara meraikan perayaan, tetapi juga mengingatkan anak-anak muda kita pentingnya nilai kekeluargaan dan kebudayaan tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun. Oleh itu, sekolah kami juga mengadakan sambutan perayaan ini pada dua hari sebelum Mid-Autumn Festival. Aktiviti ini telah dijalankan dengan berjaya atas penglibatan ibu bapa dan murid-murid yang aktif. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah :
  • makan kuih bulan
  • menyelesaikan teka-teki tanglung
  • berjalan mengelilingi kawasan sekolah dengan tanglung yang bernyala
  • pertandingan mewarna
Tujuan sekolah kami mengadakan aktiviti tersebut adalah untuk menjalinkan hubungan yang baik antara pihak sekolah, ibu bapa dan murid. Selain itu, kami juga berharap agar murid-murid dapat mengekalkan kebudayaan ini ketika membesar kelak.


Teka-teki tanglung











                                                                                                       Pertandingan mewarna

Saturday, 3 November 2012

Penggubalan Bahasa Cina

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)  telah mula dilaksanakan sejak tahun 2011. Di bawah dasar ini, setiap mata pelajaran juga mengalami perubahan yang besar. Menurut Standard prestasi Bahasa Cina, diharapkan agar murid dapat mencapai matlamat-matlamat yang berikut:
  1. Dapat berkomunikasi dengan orang dalam kehidupan harian. Murid dapat meluahkan pendapat masing-masing dengan bersopan-santun dalam penyelesaian masalah.
  2. Dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya ketika berkomunikasi dengan orang lain dan mengemukakan soalan yang berkaitan dengan situasi tertentu.
  3. Mengenali 2500 kosa kata serta menguasai kemahiran menulis.
  4. Dapat memupuk tabiat membaca yang baik.
  5. Dapat menguasai kemahiran menulis dalam pelbagai bidang.
  6. Melahirkan golongan yang peka akan perkembangan Bahasa Cina dan cinta akan bahasa ini.
  7. Melahirkan golongan yang mempunyai semangat patriotisme.
Pengajaran Bahasa Cina di bawah dasar KSSR terdiri daripada 5 modul, iaitu:

  1. Modul Pembacaan yang mengambil masa 150 minit seminggu di mana murid akan belajar mengenai teknik membaca yang betul serta cara menghayati pelbagai karya sastera yang dipetik dari Malaysia, Taiwan dan China.
  2. Modul Pendengaran dan Pertuturan yang mengambil masa 90 minit seminggu yang bertujuan untuk memupuk tabiat mendengar dan bertutur murid yang baik.
  3. Modul Penulisan yang mengambil masa 60 minit seminggu. Modul ini menitikberatkan penulisan perbendaharaan kata serta penulisan ayat, perenggan sehingga karangan.
  4. Modul Permainan yang mengambil masa 30 minit seminggu di mana murid dapat menghayati keindahan bahasa melalui sastera, puisi, sajak dan teka-teki.
  5. Modul Tatabahasa yang juga mengambil masa 30 minit seminggu di mana murid akan didedahkan dengan laras tatabahasa supaya dapat memantapkan kemahiran penulisan murid. 
Diharapkan agar transformasi pendidikan ini dapat melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan tinggi, berkemahiran profesional, bertahan lasak ketika menghadapi masalah, berdaya saing di pentas antarabangsa serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek dan bukan sahaja tahu akan mengejar materialistik.