Aspek penulisan KSSR Bahasa Cina agak berlainan dengan penulisan dasar KBSR. Di bawah KBSR, kemahiran membina ayat berdasarkan perbendaharaan kata dari petikan yang diajar dititikberatkan. Pada tahap 2 pula, murid mula belajar menulis karangan berpandukan gambar atau dengan tajuk-tajuk yang diberikan. Hasilnya, kebanyakan murid mula menghafal karangan kerana guru-guru di sekolah atau guru di pusat tiusyen membantu mereka membuat ramalan. Akibatnya, murid-murid berasa bosan dan menghadapi tekanan kerana terdapat banyak jenis karangan yang perlu dihafal. Murid-murid juga menjadi pasif dan kurang kreatif kerana karangan yang dihasilkan bukan hasil sendiri.
Tetapi, dengan transformasi pendidikan kali ini, murid-murid berpeluang untuk meluahkan pendapat masing-masing melalui ayat-ayat atau karangan mereka. Bidang penulisan KSSR mementingkan pandangan murid sendiri. Apabila tajuk atau gambar diberikan, mereka dikehendaki memberi pendapat melalui lisan sebelum menulis. Ini adalah untuk melatih kemahiran bertutur dan menulis murid. Cara ini juga dapat membina pemikiran murid yang kreatif kerana guru tidak mengenakan sebarang sekatan malah memberikan kebebasan untuk bercakap. Selain itu, topik-topik yang digunakan biasanya berkaitan dengan pengalaman sedia ada murid. Lama-kelamaan, anak-anak murid ini akan lebih berkeyakinan semasa bercakap dengan orang ramai, berfikiran kreatif serta mahir dalam menulis ayat-ayat yang gramatis.
Contoh latihan :
1. Apakah yang sedang berlaku ?
2. Di manakah perhimpunan diadakan ?
3. Siapakah yang berada di tapak perhimpunan ?
4. Adakah anda suka akan perhimpunan ? Mengapa ?
Murid-murid akan menjawab soalan-soalan dahulu. Guru akan cuba membetulkan jawapan murid yang kurang betul atau membimbing murid-murid untuk memberikan jawapan. Kemudian, guru akan membimbing murid-murid untuk menulis ayat-ayat atau perenggan. Kosa kata yang tidak tahu boleh digantikan dengan simbol atau gambar. Guru perlu menanda latihan murid dengan longgar supaya tidak menjejaskan keyakinan murid dalam meluahkan pandangan mereka. Guru tidak menyekat daya pemikiran murid dan bersedia untuk menerima apa saja pendapat yang diberikan oleh murid kerana murid-murid akan selalu mengeluarkan idea-idea di luar imaginasi kita. Inilah salah satu matlamat transformasi pendidikan daripada KBSR kepada KSSR.
Anak saya sangat takut untuk menulis karangan. Kekurangan isi dan idea serta daya imaginasi yang kurang kreatif ialah punca utama. Saya betul-betul berharap agar KSSR ini dapat membantu anak-anak saya yang seterusnya dalam bidang penulisan.
ReplyDelete