Saturday, 3 November 2012

Penggubalan Bahasa Cina

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)  telah mula dilaksanakan sejak tahun 2011. Di bawah dasar ini, setiap mata pelajaran juga mengalami perubahan yang besar. Menurut Standard prestasi Bahasa Cina, diharapkan agar murid dapat mencapai matlamat-matlamat yang berikut:
  1. Dapat berkomunikasi dengan orang dalam kehidupan harian. Murid dapat meluahkan pendapat masing-masing dengan bersopan-santun dalam penyelesaian masalah.
  2. Dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya ketika berkomunikasi dengan orang lain dan mengemukakan soalan yang berkaitan dengan situasi tertentu.
  3. Mengenali 2500 kosa kata serta menguasai kemahiran menulis.
  4. Dapat memupuk tabiat membaca yang baik.
  5. Dapat menguasai kemahiran menulis dalam pelbagai bidang.
  6. Melahirkan golongan yang peka akan perkembangan Bahasa Cina dan cinta akan bahasa ini.
  7. Melahirkan golongan yang mempunyai semangat patriotisme.
Pengajaran Bahasa Cina di bawah dasar KSSR terdiri daripada 5 modul, iaitu:

  1. Modul Pembacaan yang mengambil masa 150 minit seminggu di mana murid akan belajar mengenai teknik membaca yang betul serta cara menghayati pelbagai karya sastera yang dipetik dari Malaysia, Taiwan dan China.
  2. Modul Pendengaran dan Pertuturan yang mengambil masa 90 minit seminggu yang bertujuan untuk memupuk tabiat mendengar dan bertutur murid yang baik.
  3. Modul Penulisan yang mengambil masa 60 minit seminggu. Modul ini menitikberatkan penulisan perbendaharaan kata serta penulisan ayat, perenggan sehingga karangan.
  4. Modul Permainan yang mengambil masa 30 minit seminggu di mana murid dapat menghayati keindahan bahasa melalui sastera, puisi, sajak dan teka-teki.
  5. Modul Tatabahasa yang juga mengambil masa 30 minit seminggu di mana murid akan didedahkan dengan laras tatabahasa supaya dapat memantapkan kemahiran penulisan murid. 
Diharapkan agar transformasi pendidikan ini dapat melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan tinggi, berkemahiran profesional, bertahan lasak ketika menghadapi masalah, berdaya saing di pentas antarabangsa serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek dan bukan sahaja tahu akan mengejar materialistik.


1 comment:

  1. KEPENTINGAN BAHASA CINA KEPADA KITA:

    1) Memudahkan komunikasi dengan masyarakat berbangsa Cina.
    Kita akan dapat berkomunikasi dengan bangsa cina di negara kita mahupun pelancong luar tanpa sebarang masalah. Dengan kelebihan ini juga, kita akan mempunyai lebih ramai kawan serta kenalan yang berbilang kaum.

    2) Lebih diutamakan dalam sesi temuduga pendidikan/pekerjaan.
    Sekiranya kita menguasai lebih daripada dua bahasa, kita mempunyai peluang yang lebih cerah untuk diterima oleh sesebuah institusi pengajian tinggi dan juga syarikat-syarikat yang sedang mencari pekerja dengan lebih baik daripada calon-calon yang lain.

    3) Dapat menambahkan ilmu daripada sumber luar yang tiada di Malaysia.
    Tidak semua buku yang penuh dengan informasi serta ilmu pengetahuan ada di Malaysia dan diterjemahkan dalam bahasa ibunda kita iaitu Bahasa Melayu. Pasti sukar bagi kita untuk menceduk ilmu daripada sumber-sumber ini sekiranya kita tidak mempelajari Bahasa Cina ataupun bahasa asing yang lain.

    4) Menambahkan sumber pendapatan melalui perniagaan.
    Dengan menguasai bahasa cina, kita mempunyai potensi yang jauh lebih besar untuk mengembangkan perniagaan kita memandangkan Bahasa Cina merupakan bahasa yang paling banyak digunakan oleh masyarakat dunia.

    BAGAIMANAKAH CARA MUDAH MENGUASAI BAHASA CINA?

    Tiada jalan pintas untuk berjaya terutamanya dalam menguasai bahasa cina. Seseorang itu perlu menghadiri kelas di sekolah, dengar cikgu mengajar, lakukan latihan yang berterusan dan pelbagai rutin khas lain yang perlu diikuti setiap hari dalam usaha untuk mempelajari serta menguasai bahasa cina ini. Maka, penggubalan Bahasa Cina KSSR ini memainkanlah peranan penting untuk mencapai matlamat dan objektif di atas.

    ReplyDelete